Thursday, February 17, 2011

99 Hari Kisah Klasik "Cikli" : Interlock

 
Don't know what I'm doing here
I'll carry on regardless
Got enough money for one more beer
I'll carry on regardless

Good as gold, but stupid as mud
He'll carry on regardless
They'll bleed his heart 'til there's no more blood
But carry on regardless

Carry on with laugh
Carry on with cry
Carry on with brown under moonlit sky
Suasana dalam Mahkamah Sesyen Shah Alam hari itu langsung tidak menarik perhatian Velu. Sebaliknya lirik lagu Good as gold (But stupid as mud) dendangan The Beautiful South yang menjadi siulannya dulu-dulu bermain-main di benaknya. Seakan-akan Paul Heaton penyanyi yang berwajah mirip pelawak Robin Williams itu sengaja mahu menambahkan kekusutan minda Velu dengan kata-kata yang membuatkannya meratap mengasihani diri sendiri.
Velu memandang segalanya dalam mahkamah dengan pandangan kosong. Dia tidak berminat untuk mengambil tahu masalah dan kes orang lain. Dia hanya menunggu kesnya dipanggil. Satu penantian yang dirasakan terpanjang dalam hidupnya. Mahu tidak mahu dia terpaksa membatukan diri di galeri awam sambil matanya bagaikan mata ikan kering memandang batang tubuh yang silih berganti keluar-masuk dalam kandang tertuduh di perut mahkamah itu.
Semuanya kerana interlock! Sebelum ini dia tidak kisah dan tidak mahu ambil tahu perihal interlock, walaupun dia cukup arif apa itu interlock. Sudah berpuluh aduan dan sungutan yang diterimanya berkaitan interlock.Tetapi Velu hanya membiarkan sungutan dan aduan itu berlalu pergi begitu sahaja.
Ah! Dua-tiga hari diamlah mereka. Yang penting mereka dapat duit. Bentak hatinya. Keras.
Tapi kali ini interlock betul-betul telah memberikan tekanan kepadanya. Interlock telah membuatkan dia terpaksa hadir ke mahkamah pada hari ini. Siapa mahu hadir di mahkamah untuk dibicarakan? Dibayar sepuluh ribu pun Velu tidak sanggup. Bahkan dia sanggup membayar untuk tidak perlu menghadirkan dirinya ke mahkamah. Tapi nasi sudah menjadi bubur. Sekarang ini, di sinilah Velu terpaksa duduk diam-diam, di galeri awam Mahkamah Sesyen Shah Alam, menunggu kesnya dipanggil dalam keadaan dia tidak mampu berbuat apa-apa selain diam membatu!
Paul Heaton bernyanyi lagi di dalam benaknya. Ah! Diamlah engkau. Jangan cuba nak perdaya aku. Aku bukan mangsa di sini. Sebaliknya akulah pemangsa. Aku yang perlu menginsafi diri. Jangan dendangkan lagi lagu itu. Lagipun The Beautiful South sudah berpecah. Jangan buatkan seolah-olah aku sedang cuba mencari belas kasihan orang lain dengan berlagak sebagai mangsa. Velu berperang hebat seorang diri.
Beberapa malam yang lalu, Velu mengajak kawannya Rais keluar minum. Sebenarnya Velu ingin berkongsi masalah dengan Rais, kawan baik yang paling memahaminya itu. Mereka sama-sama tinggal sebilik semasa menuntut di Universiti Malaya dahulu.
“Takkanlah kerana Interlok kamu kena dakwa di mahkamah?” Tanya Rais lagak terkejut apabila Velu memberitahu tentang saman yang diterimanya.
“Kau tak percaya?” Velu menjawab dengan menyoal balik.
“Ramai lagi orang yang hadir semasa demonstrasi membakar novel Interlok hari itu. Kenapa hanya engkau yang kena? Lagipun engkau hanya pergi ke situ untuk meramaikan orang sahaja. Tanda menyokong,” Rais berkata lagi dengan nada yang cukup tidak puas hati. Sedikit sebanyak sikap mengambil berat Rais terhadapnya membuatkan Velu terasa lapang dan selesa setelah berhari dia menjeruk rasa dengan isu interlock. Tetapi malang, Rais silap faham. Bukan Rais sahaja, ramai sudah orang yang tersilap faham apabila Velu memberitahu mereka tentang kes saman terhadapnya.
“Inilah silapnya demokrasi kita. Tak ada ruang untuk menyatakan pendapat langsung. Kau pun satulah Velu, yang engkau pergi turut serta dalam demonstrasi membakar Interlok hati tu siapa suruh? Biasanya engkau tak minat demo-demo ni. Lagi satu, engkau dah baca ke belum buku Interlok Abdullah Hussain tu?” daripada menyatakan rasa tak puas hati, nada Rais sudah bertukar menjadi semacam membebel pula. Velu rasa lebih baik dia menerangkan hal sebenar kepada Rais sebelum rakannya itu melalut lebih jauh lagi.
“Memang aku belum baca novel Interlok tu. Tapi bukan buku itu isunya”, kuat suara Velu.
“Kalau bukan Interlok, apa isu sebenarnya?” Tanya Rais kehairanan.
“Interlock,” jawab Velu.
“Dei macha.... Apa ni, sekejap Interlok, sekejap bukan Interlok, sekejap Interlok balik. Aku serius ni,” Rais tak sabar lagi dengan cakap Velu yang dirasakan semakin berbelit-belit.
“Bukan novel Interlok, tetapi interlock, interlock pada mesin power press di kilang aku. Sekarang ada faham?” Beritahu Velu sungguh-sungguh.
Velu yakin Rais dapat memahami apa yang dia sedang cuba sampaikan kerana mereka sama-sama belajar kejuruteraan mekanikal dahulu. Lagipun Rais sebagai seorang konsultan mekanikal dan elektrikal semestinya lebih afdal untuk memahami erti interlock daripadanya. Kalau itupun dia tidak faham, kelayakan Rais sebagai konsultan M&E boleh dipertikaikan. Itu fikir Velu.
“Mesin power press engkau tak ada interlock ke?” Tanya Rais terkejut. Sememangnya sebagai seorang jurutera mekanikal dia faham sangat keperluan memasang interlock pada mesin power press. Mengikut The Free Online Dictionary, interlock bermaksud a mechanical device that prevents a component from functioning when another component is functioning or situated in a particular way. Secara umum dan kasarnya interlock ialah suatu peranti yang dipasang pada sesuatu mesin agar ianya dapat memberhentikan operasi mesin tersebut secara otomatik apabila sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan terjadi. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kemalangan daripada berlaku.
“Interlock inilah  yang paling penting untuk mesin power press engkau Velu,” kata Rais kesal. Velu akui kebenaran kata-kata Rais.
Kilang yang Velu usahakan adalah kilang mengeluarkan sprocket iaitu gear basikal dan motosikal. Kepingan besi empat segi akan ditukar menjadi bentuk bulat bergigi dengan menggunakan mesin power press. Bentuk bulat bergigi ini dibuat dengan menghentakkan kepingan besi ini tepat dari atas dengan kekuatan beberapa ekor gajah bergantung kepada ketebalan kepingan besi.
Kemalangan yang berlaku adalah kerana semasa hentakan mesin power press ke bawah, tangan pekerja yang mengendali power press masih berada di dalam kawasan hentakan.  Sekiranya ini berlaku, alamat putus atau hancurlah tangan pekerja yang malang itu. Dan hari ini Velu berada di mahkamah kerana perkara ini telah berlaku di kilangnya.
“Kes no SA 63-12-2010, PP melawan Vadivelu Sprocket Industries Sdn. Bhd,” suara lantang jurubahasa mahkamah mengejutkan Velu daripada lamunannya. Dengan longlai Velu melangkah ke tepi kandang tertuduh dan berdiri tegak di situ. Perasaannya ketika itu tak terucapkan olehnya. Kalau boleh biarlah semuanya cepat berlalu.
Sebutan kes terhadap Velu dikendalikan oleh seorang pegawai OSHA yang bertindak sebagai pegawai pendakwa di bawah peruntukan Seksyen 377(b) Kanun Tatacara Jenayah yang membolehkan mana-mana pegawai kerajaan yang layak menjalankan pendakwaan di mahkamah.
Pertuduhan dibacakan. Velu telah dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, iaitu gagal memastikan setakat yang praktik keselamatan dan kesihatan pekerjanya semasa mengendalikan mesin power press sehingga menyebabkan kemalangan ke atas Jamil Bin Abdul Hamid.
Velu sungguh-sungguh kesal. Jamil adalah pekerjanya yang paling berkebolehan. Paling setia dan paling rajin. Semasa kilang itu mula-mula dibangunkan oleh Velu tiga belas tahun lalu, Jamil yang banyak membantunya. Jamillah yang bekerja sehingga lewat malam kerana terpaksa menyiapkan tempahan sprocket daripada pelanggan. Kadang-kadang Velu terpaksa berhutang gaji dengan Jamil kerana kesuntukan modal. Memang jasa Jamil telah banyak membantu membangunkan kilang Velu. Sekarang tangan Jamil sudah hancur dilenyek mesin power press. Jamil sudah hilang upaya. Mustahil Jamil dapat bekerja di situ lagi dengan hanya tangan kanan sekerat siku. Rasa bersalah Velu semakin menebal apabila teringatkan anak-anak Jamil yang ramai dan isteri Jamil yang tidak bekerja. Pastinya mereka amat memerlukan tangan kanan Jamil yang telah hancur dibaham mesin power press itu untuk meneruskan kehidupan mereka.
“Adakah kamu faham pertuduhan yang dibacakan?” Tanya jurubahasa mahkamah setelah selesai membacakan pertuduhan.
“Ya,” jawab Velu sambil menganggukkan kepala.
“Adakah kamu mengaku bersalah?” Tanya jurubahasa mahkamah lagi dengan matanya memandang tepat ke dalam mata Velu.
Memang Velu akui dialah yang bersalah. Sebelum ini dia tidak berasa begitu. Setelah apa yang terjadi ke atas Jamil, pekerja yang juga rakan karibnya, barulah dia sedar akan kesalahannya. Sebelum ini bukan power press di kilangnya tidak pernah memakan tangan orang. Seorang pekerja Bangladesh telah putus 2 inci jari telunjuknya setahun lepas. Tetapi Velu berjaya menyembunyikan dan mendiamkan kes tersebut. Pekerja Bangladesh itu dihantar pulang ke negaranya dan diberikan sedikit pampasan untuk menutup mulut. Selepas itu seorang gadis belasan tahun yang sedang menunggu keputusan SPM telah putus 2 jari kanan. Bersusah Velu membiayai kos perubatan gadis itu dan mempengaruhi gadis itu dan keluarganya supaya tidak melaporkan kemalangan itu ke pejabat OSHA. Jika dilaporkan juga, gadis itu yang akan mendapat susah kerana dia yang bekerja secara cuai dan tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak kilang. Itu kata-kata amaran Velu kepada gadis itu dan keluarganya yang tinggal melarat di sebuah estet. Memang senang memperdayakan orang miskin dan tidak berpelajaran. Apatah lagi bila dihulurkan kepada mereka sejumlah wang. Sekarang apabila memikirkan perkara itu, Velu ingin sahaja menyumpah dirinya sendiri.
“Adakah kamu mengaku salah?” Suara jurubahasa mahkamah lebih lantang kali ini apabila Velu diam membisu.
Velu mengangguk.
“Ya. Saya mengaku,” itu sahaja yang Velu termampu ucapkan. Matanya memandang tepat ke lantai kerana dia tidak sanggup melihat sesiapa lagi ketika ini.
Fakta kes dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan Velu mengangguk mengakui fakta yang dibacakan. Hasratnya Cuma satu, biarlah semuanya  berakhir dengan cepat.
“Apa rayuan kamu?” Suara parau Tuan Hakim menembus tepat ke jantung Velu.
Semalam Velu sudah menghafal beberapa skrip rayuan untuk mengurangkan hukuman di hadapan hakim. Tetapi hari ini semuanya hilang. Velu yang petah bercakap dan selalu menang berbahas di kedai kopi hari ini sedang bersusah payah menyusun ayat untuk menyelamatkan diri di hadapan seorang hakim mahkamah sesyen.
“Errr...Minta dikurangkan denda tuan. Bisnes kurang baik, saya pun dah insaf tuan,” itu sahaja yang mampu Velu keluarkan dari kerongkongnya.
Giliran pegawai pendakwa pula bangun membuat hujahan. Habis diungkitkan oleh pegawai berkaca mata itu tentang kemalangan-kemalangan lalu yang telah terjadi di kilang Velu dengan dikemukakan dokumen-dokumen pembuktian yang tidak dapat disangkal lagi. Kedegilan Velu untuk menurut arahan pegawai OSHA juga dibuktikan dengan notis-notis yang telah dikeluarkan oleh pegawai OSHA semasa pemeriksaan kilang yang tidak pernah diendahkan oleh Velu selama ini. Velu mencuba sepositif mungkin untuk mendengar hujah pendakwa muda yang sedang membalunnya kerana dia akui semuanya benar belaka.
“Pihak pendakwa memohon mahkamah yang mulia ini menjatuhkan hukuman yang seadil-adilnya kepada Orang Kena Saman,” pegawai pendakwa menutup hujahnya dengan yakin.
Velu berasa amat kecewa dan malu dengan dirinya sendiri sekarang. Bukan setakat dia telah gagal memastikan keselamatan penggunaan mesin power press, bahkan dialah yang telah mengarahkan agar power press di kilangnya diubahsuai.
Sebenarnya power press yang dibeli oleh Velu kebanyakannya telah tersedia dengan ciri-ciri keselamatan. Ada yang menggunakan two-hand button dan ada yang menggunakan laser beam sebagai pengadang. Tetapi sistem keselamatan ini sengaja dipintas atau di’by-pass’ oleh Velu agar produktiviti kilangnya bertambah. Bukankah fahaman umum bahawa keselamatan itu menyusahkan dan membuang masa?
Sistem pengadang two-hand button memastikan hanya dengan menekan kedua-dua butang, di kiri dan di kanan, barulah power press dapat berfungsi. Butang yang diletakkan di kiri dan kanan dengan jarak lebih kurang setengah depa antara satu sama lain akan memastikan bahawa semasa bahagian atas power press menghentak kebawah, tangan operator yang mengendalikan power press akan sentiasa berada di luar kawasan kerja power press, iaitu di butang kiri dan kanan. Oleh itu, tiada kemungkinan tangan operator akan dihempap oleh mesin itu.
Sistem pengadang laser beam pula menggunakan cahaya laser sebagai pagar di bahagian hentakan power press. Jika garisan cahaya laser ini terganggu atau terputus, power press akan berhenti secara otomatik. Oleh itu, tangan operator mestilah sentiasa berada diluar kawasan hentakan agar tidak mengganggu garisan cahaya laser bagi memastikan power press dapat beroperasi.
Inilah interlocking system yang perlu ada pada sesuatu mesin power press yang diabaikan oleh Velu selama ini. Kerana mahu mengejar masa dan mementingkan keuntungan, Velu telah mengenepikan interlock yang amat diperlukan dalam operasi di kilangnya dan hari ini adalah hari pengajaran kepadanya. Biarlah lambat, asalkan selamat.
Di luar mahkamah, Velu menjabat tangan pegawai pendakwa erat-erat sambil menuturkan kata-kata terima kasih. Pegawai pendakwa membetulkan kaca matanya sambil tangan kirinya digenggam dan dirapatkan kedadanya lalu berkata mesra.
“Mr. Velu, interlock tidak boleh di’by-pass’, barulah kita selamat dan tenang. Begitu juga hati kita....”
Velu rasa dia faham kata-kata itu lalu mengejapkan lagi genggaman salamnya.

Sekian.

~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~
 

Hasil Karya : Cikli

Untuk mengundi cerpen Cikli, sila tinggalkan komen undian anda pada kotak komen di bawah.
***undian dari anonymous tidak dikira.

Good luck Cikli! (^^,)♥
With Love,
♥ Juliana Violet ♥

 

8 comments:

besi said...

uptodate...
aku vote

Cikli said...

thanks besi.
besi memang sinonim dgn power press. takde besi, takde lah power press.

Kay- said...

:) ada ilmu di sini.

i vote!

uncle gedek said...

You've got my vote!

Puteri said...

my teacher li!
i vote!

Puteri said...

haarp2lah si velu tu faham
dan lain2 velu yang berkaitan

ahaks

Cikli said...

catherine, gedek!, puteri,
terima kasih.

velu sorang lagi pasti berkata, itu kemalangan kerja Tuhan Allah la..

Cahaya_Kebahag!aan said...

saya VOTE..:-p