Wednesday, March 2, 2011

99 Hari Kisah Klasik "Nor Adzwaty" : Kembalikan Anakku

“ Sayang anak mama ni...anak mama yang comel ni”, ucap Dewi sambil tersenyum. Di elus lembut pipi bayi yang berada di pangkuannya. Dewi menitiskan airmata. Jururawat yang sedang menolak Dewi di kerusi roda cuma mendiamkan diri.
Tidak lama kemudian terdengar esak tangis kepiluan yang menyayat hati. Bahu Dewi terhinggut-hinggut serentak dengan esak tangisnya. Tubuh bayi yang dibungkus dengan tuala bayi dipeluk erat. Ternyata bayi seberat 450 gram itu baru berusia enam bulan dalam kandungan langsung tidak bernafas biar sedetik pun. Kelahiran secara paksa itu untuk mengelakkan si ibu kehilangan nyawa jika bayi itu tidak segera dikeluarkan. Serta-merta jururawat itu turut mengalirkan airmata sambil mengusap bahu Dewi sebagai tanda memberinya semangat.

* * *
Seminggu sebelum itu.

“Kita dah tak boleh macam dulu lagi...” Begitulah ayat yang tertera di skrin apabila Dewi membuka peti masuk di telefon bimbit suaminya. Kerana rasa ingin tahu, Dewi membuka peti mesej dihantar. Ternyata ayat-ayat yang tertera di situ menyayat hatinya. Sangat mengguris perasaannya.

“Rindu sangat nak peluk awak rapat-rapat”. Satu persatu ayat tersebut terakam di kepalanya. Dewi memandang sayu ke arah sang suami yang sedang pulas tidurnya. Wajahnya sangat polos di dalam lenanya. Serentak itu juga airmatanya laju menuruni pipi. Kedinginan suaminya bersebab. Mungkin disebabkan inilah. Hatinya berteka-teki sendiri.

Jam di dinding berdenting dua belas kali. Sudah tengahmalam. Dewi tidak dapat melelapkan mata. Airmata masih bergenang di tubir mata. Dia mengiring ke kiri membelakangi suaminya. Tangannya mengusap lembut perutnya yang mulai kelihatan. Dewi sempat tersenyum ketika membayangkan bagaimanakah rupa bayi yang menghampiri usia enam bulan di dalam kandungannya itu. Namun dalam senyuman dia merasa sedih bila mengenangkan sikap suaminya yang berubah sejak akhir-akhir ini. Dewi asyik melayan perasaannya sehingga dia terlelap sendiri.

* * *

Tiga hari berikutnya, Dewi masih mendiamkan diri. Hajat hatinya
sangat membuak-buak ingin bertanya tentang sms tersebut tetapi dia bimbang
pertanyaannya itu akan membuahkan amarah suaminya. Akhir-akhir ini ada saja
benda yang tidak kena di mata suaminya. Air kopi terlalu manislah. Masakan
terlalu masinlah. Bergerak terlalu lembablah. Semuanya serba tak kena. Dewi cuma
mampu mendiamkan diri bila sang suami memarahinya. Adakalanya suaminya tidur di
ruang tamu tetapi tidak pula lupa untuk membawa sekali telefon bimbitnya. Dewi
dibiarkan bersendirian di dalam bilik tidur.

Dewi pula sejak kebelakangan ini sering pening-pening dan sesak
nafas. Tapi doktor telah menjelaskan kepadanya bahawa perkara itu adalah perkara
biasa yang dialami oleh ibu yang sedang mengandung. Bila Dewi meminta suaminya
untuk menyapukan minyak angin di kepalanya, pasti suaminya akan membebel.
Macam-macam alasan diberi. Sampai akhirnya Dewi yang menyapu sendiri minyak
angin di kepalanya.

Dan seperti biasa malam itu, Dewi bersendirian lagi. Terdengar suara
suaminya seperti sedang berbual dengan seseorang. Dewi perlahan-lahan turun dari
katil dan menguak sedikit daun pintu dan mengintai di sebalik pintu. Dilihatnya
suaminya sedang menonton televisyen sambil berbual di telefon bimbit. Kedengaran
nadanya agak mesra jika dibandingkan dengan nada ketika suaminya sedang
memarahinya bila dia melakukan kesilapan. Dewi cuma mampu mengeluh berat. Dewi
menutup pintu dan kembali duduk di sisi katil.

* * *

Sehari sebelum Dewi dikejarkan ke wad kecemasan, berlaku pertikaman
lidah antara dia dan suaminya. Setelah hampir tiga tahun perkahwinan mereka,
inilah kali pertama mereka bergaduh hebat. Semuanya gara-gara sms yang dibacanya
di telefon bimbit sang suami.

“Dewi...apa yang kau masak ni?!Masinlah!!!Kau ni pandai masak ke
tak?!Kalau tak pandai jangan memandai-mandai. Baik lagi aku makan di luar. Makan
di rumah ni menyakitkan hati je. Semuanya nak masak masin-masin belaka”,
tempelak Zainal secara tiba-tiba. Dewi yang ketika itu baru mahu menyuap nasi
terus terbantut seleranya. Terkejut dia dengan sergahan suaminya itu. Dewi
tunduk. Matanya mulai bergenang.

Zainal yang melihat perubahan wajah Dewi itu mencebikkan mulut.
“Inilah orang perempuan. Bila ditegur sikit mulalah menangis. Eh...kau kalau dah
tak nak layan aku, cakap je. Senang”, Zainal menujah dahi Dewi. Dewi masih
membisu. Zainal mulai geram dengan gelagat Dewi.

“Eh...aku bercakap dengan dinding ke manusia ni. Dewi oi...kau dah
tak reti nak bercakap ke? Apasal kau masak masin sangat hah? Kau sengaja nak
naikkan darah aku kan?! Bini jenis apalah kau ni? Menyesal aku kahwin dengan
kau. Lembab!”, Zainal berdiri di sebelah Dewi. Dewi masih membeku di tempat
duduknya.

“Abang...terus teranglah dengan Dewi. Abang dah ada orang lain
kan?”, Dewi akhirnya membuka mulut. Tapi wajahnya masih menunduk ke bawah.
Zainal tersentak. Dia dah tau ke, dia bertanya dalam hati. Tetapi kerana egonya
yang melangit, api amarah langsung merajai dirinya.

“Kau peduli apa? Yang kau tau duduk rumah goyang kaki. Dahlah
lembab, menyakitkan hati aku je. “ Zainal membalas. Zainal merenung tepat ke
arah Dewi. Renungannya itu sungguh tajam seolah-olah ingin ditelannya Dewi.

“Abang...tak payahlah nak berselindung. Dewi dah tau bang. Dewi
nampak sms abang dengan dia. Abang kalau dah tak sayangkan Dewi lagi, lepaskan
Dewi secara baik. Dewi takkan tuntut apa-apa dari abang. Abang pergilah dengan
perempuan pilihan abang yang menggantikan Dewi”, Dewi mengangkat mukanya dan
menentang mata suaminya. Sesungguhnya hatinya bagai ditoreh dengan pisau ketika
mengucapkan kata-kata itu. Airmatanya semakin deras mengalir.

Serta merta tangan Zainal merentap rambutnya sambil menariknya ke
ruang tamu. Dewi menjerit kesakitan dan minta dilepaskan namun jeritannya itu
sia-sia kerana Zainal seperti orang yang hilang kewarasan. Dihempaskan tubuh
Dewi ke sofa. Dewi mengaduh kesakitan tapi tidak diendahkan oleh Zainal.

“Kau nak minta cerai? Setelah aku bersusah-payah mendapatkan kau
dulu? Kau ni memang jenis perempuan yang tak mengenang budi. Aku cari duit untuk
menyara kau. Ibu bapa kau dah serahkan kau kepada aku. Maksudnya kau sekarang
milik aku!” Zainal menampar pipi Dewi. Tangisan Dewi semakin rancak.

“Mulai hari ni, kau jangan sibuk nak periksa telefon aku. Aku tak
izinkan. Kau nak derhaka dengan aku ye! Jangan sibuk nak ambil tau dengan siapa
aku berhubung. Aku ni suami kau. Hormatlah sikit!” Zainal menolak kasar kepala
Dewi dan terus meluru keluar. Kedengaran bunyi enjin kereta dihidupkan. Dewi
masih lagi menangis di sofa.

Dirasakannya seluruh badannya sakit-sakit. Tiba-tiba dia terasa
seperti ada sesuatu yang panas mengalir di pahanya. Bila Dewi melihat ke bawah,
darah merah sudah mulai membasahi hujung kakinya. Dewi cemas. Dia segera
mendapatkan telefon bimbitnya. Dia mendail nombor suaminya tetapi suaminya gagal
dihubungi.

Dalam kesakitan, dia mendail nombor telefon teman baiknya. Zira
sangat terkejut bila mendengar yang Dewi mengalami pendarahan. Dalam masa lima
belas minit Zira tiba di depan rumahnya. Zira memecut laju menuju ke hospital.
Dia sangat bimbangkan keadaan Dewi.

Tiba sahaja di perkarangan hospital di jabatan kecemasan, Dewi
segera diusung dengan stretcher dan segera dimasukkan ke wad kecemasan. Zira
masih cuba mendail nombor telefon Zainal tapi masih gagal.

* * *

Jenazah bayi itu sudah selamat dikebumikan petang itu juga sejurus
selepas sehari Dewi ditahan di hospital. Zainal serta beberapa orang jiran
tetangga baru pulang ketika Zira tiba di perkarangan rumah Dewi. Kelihatan wajah
Zainal sugul tidak bermaya.

Zira terus masuk ke dalam rumah. Di ruang tamu kelihatan kedua orang
tua Dewi dan Zainal. Mak Lijah, ibu kandung Dewi menunjukkan ke arah bilik tidur
Dewi. Zira melangkah perlahan melintasi tetamu yang duduk di ruang tamu.

Zira menolak daun pintu perlahan-lahan. Dari sudut pandangan Zira
kelihatannya seperti Dewi sedang duduk bersandar di katil sambil tangannya
mengusap-usap sesuatu diribaannya. Apabila dia menghampiri Dewi ternyata Dewi
sedang mengusap bantal yang dibungkus dengan tuala bayi. Dilihatnya pandangan
mata Dewi tertumpu ke arah satu sudut sahaja. Namun, pandangan itu kosong. Wajah
Dewi sangat pucat dan matanya bengkak setelah semalaman menangis tanpa henti.

Zira duduk di sisi katil menghadap ke arah Dewi. Bila Dewi sedar
dengan kehadirannya dia segera memeluk Zira dan melampiaskan tangisannya dibahu
Zira. Zira turut menangis. Dia sedih dan simpati di atas apa yang menimpa
sahabat baiknya itu.

“Dewi...dahlah tu. Yang pergi tetap pergi. Kita yang hidup ni kena
teruskan kehidupan. Tuhan lebih sayangkan dia”, dalam sendu Zira cuba memujuk
hati temannya itu.

“Dia bunuh anak aku Zira. Dia bunuh cinta kami. Dia pembunuh Zira.
Dia bunuh anak aku! Dia buat aku kehilangan anak aku! Anak dalam perut aku ni!”
Dewi menjerit sambil memukul-mukul perutnya. Zira memeluk erat temannya itu dan
menyuruhnya bersabar. Dewi menangis semahu-mahunya.

Zainal muncul di muka pintu. Di raut wajahnya terukir seribu
penyesalan. Zira segera bangun untuk memberi ruang kepada Zainal untuk mendekati
isterinya. Dewi mengambil semula bantal yang dibalutnya dengan tuala bayi yang
digunakan untuk membalut mayat anaknya di hospital tempoh hari. Diusap-usap
lembut bantal itu. Dewi tidak mengendahkan kehadiran suaminya.

Zainal mencapai tangan Dewi. Dewi tepis kasar tangan Zainal. Zainal
mencuba lagi. Dewi tepis lagi. Tangannya rancak mengusap bantal itu.

“Sayang...abang minta maaf...” Zainal tidak mampu meneruskan kalimah
bila dia menyaksikan tingkah Dewi. Dewi merenung tajam ke arahnya.

“Kembalikan anakku...” Lirik suara Dewi. Tapi matanya masih tajam
memandang suaminya.

“Sayang...abang...abang minta maaf. Abang betul-betul
menyesal...abang...” Zainal kematian kata-kata.

“Kembalikan anak aku!” Keras suara Dewi. Zainal meraih jari jemari
Dewi dan mengucupnya tetapi segera ditarik oleh Dewi.

“Aku tak nak kau tunjukkan kasih sayang kau sekarang. Aku nak anak
aku. Kembalikan anak aku! Kau bunuh anak aku. Kau pembunuh!!!” Dewi menjerit
sekuat hati.

“Sayang...abang tak sengaja. Abang salah. Ya abang mengaku salah.
Abang minta maaf. Tolonglah maafkan abang Dewi. Abang betul-betul menyesal
sekarang. Bagitau abang apa perlu abang buat untuk tebus kesalahan abang”,
Zainal merayu. Egonya langsung tiada. Dia menangis semahu-mahunya tanpa
menghiraukan kehadiran Zira dan kedua ibu bapanya dan mertuanya.

Semua yang ada di dalam bilik itu turut mengalirkan airmata bila
menyaksikan kejadian itu. Zira segera keluar. Tidak sanggup rasanya melihat
situasi yang menyedihkan itu. Beberapa tetamu mulai beransur pulang seakan faham
dengan situasi yang melanda.

Dewi masih lagi erat memeluk bantal itu. Dia mulai meracau-racau
sesuatu tapi kurang jelas didengar. Namun, tingkahnya seolah-olah sedang
bercakap dengan seseorang.

“Sayang mama...bapa kau tak guna. Dia dah bunuh sayang. Tapi jangan
takut mama ada sayang. Mama sayang dengan anak mama ni”, Dewi menuturkan
kata-kata itu ke arah bantal yang dipeluk erat. Berulangkali dia mengucapkannya.
Zainal yang menyedari hal itu semakin menggila tangisnya. Dewi mulai mengucup
bucu bantal itu dan menepuk lembut bantal itu seolah-olah seorang ibu menidurkan
anaknya. Kedua ibu bapa serta mertuanya segera mendapatkan Zainal.

Zainal di bawa ke ruang tamu dan ditenangkan oleh bapa kandungnya.
Sementara itu ibunya dan ibu mertuanya cuba menenangkan Dewi. Ternyata Dewi
sudah tenggelam dalam dunianya sendiri. Dia mulai menganggap bahawa bantal itu
adalah bayinya. Dia sudah tidak mempedulikan kehadiran ibunya serta ibu
mertuanya. Keadaan ini membimbangkan semua orang kerana ditakuti Dewi gila
meroyan.

* * *

Sudah sebulan lebih Dewi dibawa balik ke kampungnya untuk berubat
secara tradisional untuk memulihkan semangatnya. Namun segala usaha membuahkan
kegagalan kerana Dewi masih dalam dunianya sendiri. Dewi juga telah dibawa
berjumpa dengan pakar psikologi namun jawapan yang diterima amatlah menghampakan
kerana Dewi mengalami tekanan perasaan yang teruk menyebabkan dia tidak dapat
membezakan yang mana realiti dan yang mana dunia ciptaannya sendiri. Adakalanya
dia akan ketawa bahagia seolah-olah dia telah dapat melupakan kisah hitam itu.
Tetapi selepas itu dia akan menangis sehari semalam dan kadangkala enggan tidur
dan selalu kelihatan bercakap-cakap sendiri. Zainal pernah mengalihkan bantal
itu dari sisi Dewi tapi bila Dewi tersedar dia mengamuk dan mendesak Zainal
untuk mengembalikan “anak”nya itu.

* * *

Zainal terduduk di hujung tangga rumah mertuanya. Hadirin yang
beransur pulang mengucapkan takziah dan ada juga yang menyuruhnya bersabar.
Setelah hampir setengah tahun menderita, akhirnya Dewi kembali ke pangkuan
penciptaNya.

Seribu penyesalan sudah tidak berguna lagi. Zainal kehilangan insan
yang sangat disayanginya. Sementelahan itu dia teringatkan gadis yang dicurigai
oleh arwah isterinya. Sejurus selepas dia keluar meninggalkan Dewi pada malam
mereka bertengkar, dia segera menghubungi gadis itu dan mendesaknya berjumpa
pada malam itu juga. Hajat dihati ingin segera memiliki gadis itu kerana
dirasakannya dia dan isterinya sudah tidak sefahaman lagi.

Dia mematikan telefon bimbit selepas menghubungi gadis itu. Ternyata
bila dia menunggu di tempat pertemuan mereka gadis itu tidak muncul. Dan bila
dia mendapat khabar dari gadis itu selepas dia menghidupkan semula telefon
bimbitnya, dia merasakan seperti langit itu runtuh di atas kepalanya. Zira
mengatakan yang isterinya pendarahan dan bayi mereka tidak sempat melihat dunia.

Ya. Ziralah gadis yang selalu dihubunginya. Zira teman rapat arwah
isterinya. Dahulunya mereka pernah berkasih dan putus gara-gara salah faham
sebelum dia bertemu dan bercinta dengan Dewi. Ternyata Dewi dan Zira merupakan
teman rapat semenjak sekolah lagi akan tetapi terputus hubungan setelah
masing-masing membawa haluan selepas tamat persekolahan. Mereka bertemu semula
di hari persandingan mereka yang diadakan di rumah mertuanya. Sejak itu, dia
sering menghubungi Zira dan selalu bertemu secara rahsia tanpa pengetahuan Dewi.
Zira yang serba salah kerana masih sayang dengan Zainal dan dalam masa yang sama
tidak sampai hati untuk mengkhianati teman baiknya. Namun Zainal sering mendesak
dan merayu untuk Zira kembali kepadanya dan dia sanggup untuk menyunting Zira
sebagai isteri keduanya. Zira tetap menolak kerana sayang dengan temannya itu.
Zira juga tidak dapat mengelak untuk terus berhubung dengan Dewi untuk
mengelakkan Dewi curiga kepadanya.

Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata akhir arwah isterinya sebelum
menghembuskan nafas di depan matanya. “Abang...maafkan Dewi bang. Halalkan
segala makan minum Dewi selama hidup bersama abang. Dewi akan pergi menemui anak
kita bang. Anak kita. Dewi mohon ampun dan maaf di atas segala kesilapan yang
Dewi pernah lakukan yang mengguris perasaan abang. Dan permintaan Dewi yang
terakhir, kahwinilah Zira bang. Dewi tau abang cintakan dia. Terima kasih kerana
sanggup mengorbankan cinta abang kerana Dewi. Dewi tak tau abang dan Zira bekas
kekasih. Sehinggalah malam itu bila Dewi terbaca sms abang dan dia. Dewi minta
maaf kerana Dewi rampas abang dari dia. Dewi tak tau”, Dewi menggenggam erat
tangan Zainal.

“Sayang mengucap sayang. Jangan cakap yang bukan-bukan. Bukan salah
sayangpun. Itu semua takdir sayang. Abang yang silap. Selama ini abang buta
dengan perasaan abang sendiri. Abang telah mengkhianati kepercayaan sayang.
Abang ternyata salah menilai. Sayanglah cinta abang dunia dan akhirat”, Zainal
cuba menenangkan isterinya yang ketika itu sedang bertarung dengan kesakitan
yang dialaminya.

“Abang...maafkan Dewi ya bang.”, nafas Dewi semakin menurun. Tidak
lama selepas itu, kedua kelopak mata Dewi tertutup rapat. Zainal tersandar. Bapa
mertuanya menutup wajah Dewi dengan kain selimut. Zainal terkedu. Dunia bagaikan
berputar. Dia meraup wajah dan beristighfar seraya mengucap.
Dan kini tinggallah Zainal sendiri. Isteri yang pernah dilukai itu
telah pergi menemui penciptaNya. Namun, dia masih tidak dapat menghindar dari
kekesalannya. Dia memanjatkan doa semoga isteri dan anaknya ditempatkan
dikalangan orang-orang yang soleh dan solehah. Zainal termangu sendirian.

Titisan airmata sepi merungkai isi hati yang terdalam
Padu perasaan memuntahkan gelora rasa seribu warna
Tatkala topengnya berlagu riang
Ada hati yang kecundang
Akankah bisa terawat oleh sang hujan
Yang tidak pasti jika titisannya turun secara bertitik-titik atau berturutan
Persoalan yang entah bila dapat ditelusuri
Jauh di dasarnya ada harapan yang menjulang
Bahawa hidup memang tidak selalu indah kerana ada DIA yang mengaturnya
Seringkas dan sesulit mana pun pasti akan terjelaskan dengan jawapan-jawapan
Yang kadang tidak disangka kewujudannya
Hati-hatilah wahai hati
Pilihan hanya sentiasa ada dua
Hati yang sendu bisa menjadi biru sebiru langit lambangnya cinta...


~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~


Hasil Karya : Nor Adzwaty

Untuk mengundi cerpen Nor Adzwaty, sila tinggalkan komen undian anda pada kotak komen di bawah.


***undian dari anonymous tidak dikira.


Good luck Nor Adzwaty! (^^,)♥


With Love,
♥ Juliana Violet ♥

5 comments:

Nor Adzwaty Rokkafella said...

thanx dear...:)

much love~

sahidzan said...

vote.

♥ Juliana Violet ♥ said...

Nor Adzwaty,
♥ My pleasure dear. :)
Thanks for joining tau. :)

PecahKata,
♥ Terima kasih daun keladi. :)

M.a.r. said...

i wanna vote dis~!! bole vote lebih dari satu ka?? suka sgt baca cerpen² d sini.. :)

Cahaya_Kebahag!aan said...

saya VOTE..:-p