Sunday, April 10, 2011

99 Hari Kisah Klasik "sastraboy" : Rerumputan Cinta

Dia sedang duduk mencangkung, di tangan kanannya tersisip rokok Marlboro Merah, masih menyala, sesekali ada asap kelihatan terlepas dari hujung rokok itu. Di tangan kirinya, ada seberkas rumput. Hujung rumput itu diselaputi tanah, ada kelihatan akar berselirat pada gumpalan tanah yang melekat itu.
“Cabut rumput ke San?” aku berbasa basi. Dia buat bodoh, matanya masih pada rumput-rumput itu. Dibuangnya rumput yang digenggamnya tadi ke belakangnya, di situ, ada timbunan rumput lain.  Habis saja mencabut seberkas rumput lain, dan membuangnya ke timbunan rumput  tadi, dia berhenti. Rokok yang tersisip di celahan jarinya tadi, beralih tempat, kini di celahan bibirnya pula. Hitam saja warna bibirnya itu.
“Woi San!! Cabut rumput ke??!” aku jerit sikit, bagi dia dengar. Kemudian, dia selak rambut gondrongnya, terserlah headphone yang mendiam di telinganya. “Cilake kau San!” aku terjerit kecil.  
“Apa dia tadi?” dia pandang aku, bertanya sekaligus menanggalkan sedikit headphonenya. “Aku tanya, kau dah kahwin ke belum!!!” aku beliakkan mata, niat memerlinya tadi jadi perkara lain pula. “Shit, aku dah salah tanya soalan.” gumam aku dalam hati.
Hasan diam.. dia teruskan mencangkung. Dia cuma memakai seluar pendek berwarna putih, cukup-cukup menutupi lutut, itupun kalau dia berdiri, tapi sebab dia mencangkung sekarang, pahanya terdedah. Di tubuhnya, disarung baju warna hitam bertintakan Led Zeppelin. Aku senyum, mamat ni dengan Led Zep memang tak lari. Dia teruskan aktivitinya, dan aku cuma diam, terkedu dengan kesalahan sendiri.
Lebih kurang 10 minit dia diam, dan selama itu jugalah aku tak berganjak dari tempat aku. Menunggu lelaki yang lebih tua 5 tahun dari aku ini memulakan bicara, pe’elnya memang begini, diam kalau ada apa-apa yang mengganggu jiwanya, maka itu aku tunggu dia cakap dulu.
“Im,” mulutnya mula terbuka, tapi sikit saja, sebab dibibirnya masih tersisip rokok, rokok yang baru dinyalakan tadi, “Cinta ni kan Im, macam rumput inilah,” Jari telunjuknya dikeluarkan dari genggamannya, seraya menunjukkan rumput yang meninggi, lebih tinggi berbanding rumput-rumput lain. “Dia bila dah tinggi mencanak macam ni, susah nak cabut Im, susah..” nadanya jadi bergetar.
“Kau try cabut sini kalau tak percaya,” Dia panggil aku dengan jemarinya yang seakan menari. “Ok!” aku jerit kecil. Sampai di depan rumput tu, aku pandang Hasan, mata aku bagi isyarat, “Ini je San?” dia cuma angguk dan lemparkan aku senyum sinis, wajahnya tak berapa jelas sebab ditutup asap rokok. Aku cangkung, dan cuba cabut, tak dapat, dia gelakkan aku. Aku cuba lagi, gagal lagi, dan diketawakan lagi. 5 kali aku cuba, 5 kali aku gagal, dan 5 kali aku diketawakan. Aku pasrah.
“Kau boleh cabut Im,” dia kata lepas habis gelak, “Tapi kau kena pakai cangkul itulah,” Dia tunjukkan cangkul yang terbaring di tepi jalan bertar dekat rumah kami. Ke arah kanan, jalan bertar itu memanjang ke atas bukit, selepas melepasi dua buah rumah lagi sebelum berselirat menuju kampung-kampung lain. Ke arah kiri pula, ianya mendatar, melepasi beberapa buah rumah, sebuah gerai kecil milik jiran, dan terus membawa penggunanya keluar ke pekan.
Aku ambil cangkul itu, dan tak sampai 5 minit, rumput yang tadi megah berdiri mengatasi rumput-rumput lain bersemadi di genggaman aku. Aku senyum, puas. Tak sedar yang aku sedang membahu cangkul yang beratnya beberapa kilogram. Kepuasan mengatasi segalanya. Heh.
Hasan cuma senyum. Dia duduk di atas tanah bekas rumput tadi. Dia pandang aku yang sedang berdiri, dibibirnya sudah lekang dari rokok, kerana rokok tadi, mendiam pula dicelahan jemarinya. Tak habis-habis dengan rokoknya, dengan Led Zepnya, bisik hati aku. Aku lihat Hasan cuma senyum, sinis.
“Kau tengok rumput tu, ada akar tak,” aku belek-belek rumput di genggaman aku ni bila dia cakap macam tu, lepas tu aku geleng kepala. “Sebab itulah aku cakap, cinta ni macam rumput Im” Hasan mula duduk dengan betul, ditepuk-tepuk bontotnya, digagau-gagau pula poket tepi kirinya, kemudian dia keluarkan sebatang lighter dan sebatang rokok lain. Hujung rokok dan lighter tadi dicumbu, sesaat saja, dan rokok tadi menyala. Tanpa lengah, dicucuh pula bibirnya dengan rokok itu.
“Kau tahu, bila kau cabut rumput tu, tanpa akar, rumput tu akan tumbuh balik,” dia mula bercakap dengan rokok disisip pada bibir, “Macam juga cinta, kalau kau cabut perasaan cinta kau tu, tanpa kau cabut akar-akarnya sekali, kiranya sia-sia, sebab…” dia diam sekejap, fikir aku, mesti dia ingat perempuan tu, “sebab perasaan cinta kau, akan kekal di situ, dekat hati kau.” jari yang disisipkan rokok dihala pada dada ku, sebelum dia sambung bermadah,  “Jadi, macam mana kau cuba cabut pun cinta kau tu, kau date dengan perempuan lain ke apa, kau tahu itu sia-sia, sebab cinta kau, cuma pada perempuan tu seorang,” dia hembuskan asap rokoknya, berkepul-kepul huruf O terhasil,
 “Dia seorang….” Gumamnya lagi.
Dia kemudian diam, matanya ada pada awan, ada pada langit, jiwanya juga begitu aku rasa. Aku perasan, ada juga air mata bergenang. Dia tunduk, jatuhlah setitis dua, kemudian digosok-gosok matanya. “Cilaka kereta tadi, main hembus asap karbon monoksida lak kata mata aku, berair terus,” dia bagi alasan. Aku cuma senyum.
“Kau masih ingat dia ke San?” aku tanya, dia pandang aku, kemudian dia tanya, “Kau dengan Siti macam mana, kau dah lupa kat dia?” dia pulang paku buah keras kat aku. Sial, macam mana dia tahu ni, aku jerit dalam hati, “Kau baca blog aku San?” aku tanya dia. Dia berdiri, buat bodoh dengan soalan aku. Dia arahkan kakinya ke arah timbunan rumput tadi. “Dah, jom tolong aku, cepat!!” Jeritnya sambil memeluk rumput yang dah dicabut tadi dan kemudian berjalan ke arah tempat bakar sampah.
Aku bergegas, tapi aku perasan aku pijak sesuatu, aku tengok ada dompet, terbuka, ada gambar Hasan. Ada gambar perempuan. “Ini, gambar arwah,” Aku senyum lagi. “Kau tak payah jawab soalan aku San, gambar ni dah jawab dah,” aku bisik dalam hati.
Bosan melihat rumput-rumput tadi terbakar dek api yang menjulang, aku pandang awan, dan pada awan itu, aku terlihat Siti, perempuan sakti yang tak mungkin aku miliki. Tiba-tiba mata aku pun kena hembus karbon monoksida. Cilaka.
.
Maafkan aku Fahim, kau hilang ketika aku paling perlukan kau. Kau hilang bila jiwaku sedang kosong dan minta diisi. Kau hilang, dan sekarang kau datang menawarkan cinta untuk ku raih. Maaf Fahim, belajarlah kecewa kali ini, kerana aku telah lama kecewa dengan kau, dulu. Ini giliranmu Fahim, dan sekarang aku memilih untuk berganjak dulu dengan dia, lelaki yang aku percaya, benar-benar mencintai aku. Aku pergi dulu Fahim.Selamat tinggal.
Aku cuma berdiri di tengah arus orang ramai, yang berpusu-pusu menuju destinasi masing-masing. Hatiku lopong, jiwaku kosong tatkala usai mendengar mantra Siti tadi. Aku cuma mampu berdiri, kerana Siti, destinasi hatiku, telah pergi jauh dari ku. Jauh yang tak tergapai.
Tanpa sedar, mata ku dilanda hujan.
.
“Weh, dah-dah, nak Maghrib dah ni. Sudah-sudahlah mengelamunkan dia, cabut akar rumput cinta kau pada dia, buang, atau simpan, bagi pada orang lain pula.” Hasan mulakan lagi madahnya,” Tuhan ciptakan manusia segerombolan bukan untuk kau kenangkan dia seorang, tapi untuk kau cari, perempuan yang telah Tuhan ciptakan untuk kau. Kena cari, bukan tunggu, faham?!” Dia tujal dahi aku dengan dua jari hantu dan telunjuknya yang menyisip kemas sebatang rokok yang hidup segan mati tak mahu. Kemudian, di saat aku fikir dia dah habis bercakap, “Sebab Im, bak kata arwah yang aku pegang sampai sekarang, sometimes to love is to let go,”
“Macam kau ke San? Masih simpan rumput cinta kau pada arwah, dan dengannya kau baja cinta kau pada dia, Fatimah?” aku pula membalas madahnya, “Begitu ke San?”
Sekali lagi Hasan cuma senyum, membuang rokok yang dari tadi dicumbunya dan beranjak pergi ke dalam rumah, membiarkan soalan aku tadi terapung tak bermakna. Mentang-mentanglah minggu depan dah nikah, sanggup bagi ceramah macam tu. Haha, siut kau San! Jerit aku dalam hati.
.

Usai Maghrib, dalam sakit duka sengsara yang aku rasa, aku doakan agar Siti bahagia. Aku pilih untuk biarkan dia dengan lelaki yang lebih mencintainya berbanding aku, dan berusaha memugar bahagia aku sendiri. Walaupun aku tahu ianya payah, namun aku akan terus mencuba.
Kerana bak kata Hasan, Sometimes To Love Is To Let Go.


~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥

Hasil Karya : sastraboy
Untuk mengundi cerpen sastraboy, sila tinggalkan komen undian anda pada kotak komen di bawah.


***undian dari anonymous tidak dikira.


Good luck sastraboy! (^^,)♥

5 comments:

Sang Harima said...

Gua akan sokong SastraBoy. Dia memang ganas dan ada kelas!

esya ecah said...

salam..ehem ehem..dgn ini..sy mengumumkan sy vote...hewhewhew ^_^

ENCIK TIKUS said...

kelass, aku vote =)

Raihana Izzati said...

VOTE

Cahaya_Kebahag!aan said...

saya VOTE..:-p